PRK Nenggiri: HARAPAN gerak jentera bantu kempen
Kerjasama antara Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) diperkukuh lagi melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri yang bakal dilaksana pada Ogos depan.
Pengarah Komunikasi HARAPAN, Fahmi Fadzi berkata, gabungan itu bakal menggerakkan jenteranya bagi membantu gerak kerja calon BN yang akan mewakili Kerajaan Perpaduan pada pilihan raya itu.
Bagi tujuan itu, pihaknya juga akan berhubung dengan pejabat Ketua UMNO Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah bagi meneliti bantuan yang boleh disumbangkan sepanjang kempen yang akan diadakan.
“Kami akan memberikan kerjasama baik dan sememangnya saya sendiri mengharapkan kempen ini akan berjalan dengan tertib tanpa menggunakan kata kesat dan menyinggung hati. Berkempenlah dengan baik termasuk di media sosial,” katanya.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi ditemui media selepas meninjau raptai Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara pada Jumaat.
Kerusi DUN Nenggiri kosong pada 19 Jun lalu selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahliannya oleh BERSATU pada 13 Jun.
Susulan itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi.
BACA LAGI: Pemenang Anugerah Belia 2022 dinamakan calon wakili Kerajaan Perpaduan
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub pada Khamis mengumumkan Ketua Pemuda Umno Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dipilih sebagai calon BN mewakili Kerajaan Perpaduan bagi PRK tersebut.