Qunut nazilah doakan hancur seterus sesama Islam bertentangan ajaran agama
Setiausaha Agung KEADILAN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membidas tindakan melampau pihak yang membaca Qunut nazilah untuk mendoakan kehancuran seteru politik sesama umat Islam.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata sebarang bentuk ekstremis yang melampau seperti itu harus ditolak rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kedamaian.
“Menggunakan Qunut nazilah mendoakan kehancuran lawan politik sesama umat Islam adalah tindakan melampau batas dan bertentangan dengan prinsip Islam yang sebenar.
“Pada zaman Nabi Muhammad SAW, qunut nazilah dibaca pada situasi antaranya apabila sekumpulan sahabat Nabi dibunuh secara khianat di perigi Ma’una…Rasulullah membaca qunut nazilah selama sebulan untuk memohon Allah SWT membalas perbuatan itu,” katanya dalam sidang media pada Jumaat.
Pada Khamis, Ahli Parlimen pembangkang membuat bacaan qunut nazilah dipimpin Ahli Parlimen Jasin Zulkilfli Ismail selepas Dewan Rakyat menggantung Ahli Parlimen Machang Wan Fayshal Wan Ahmad dari menghadiri sidang dewan selama enam bulan.
Wan Fasyal digantung setelah dianggap bersikap tidak profesional dan melanggar etika Parlimen apabila membangkitkan isu pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) serta menamakan seorang penjawat awam yang kononnya “dalang” mengancam kedaulatan negara hanya dengan bersandarkan surat layang yang kandungannya tidak disahkan.
BACA LAGI: Umat Islam Malaysia diseru bersikap lita’aruf termasuk kepada bukan Islam
Ditanya sejauh mana pihak kerajaan merasakan tindakan membaca doa qunut itu ditujukan kepada mereka, Saifuddin Nasution kemudian merujuk bahawa insiden itu berlaku di Dewan Rakyat.
“Di mana insiden itu berlaku semalam? Di Parlimen. Jadi ia ditujukan kepada Israel di Gaza atau apa? Perbuatan membaca qunut nazilah sejurus selepas keputusan Parlimen, kerana tidak bersetuju dengan tindakan menggantung seorang Ahli Parlimen yang ada sebab musababnya melalui proses Parlimen.
“Saya katakan ini contoh amalan politik melampau, perbezaan politik terus dijadikan asas untuk memohon doa kehancuran. Ini bukan amalan Islam. Jadi sejauh mana kerajaan anggap ini sebagai ditujukan kepada kerajaan, situasi semalam dan kondisi, jawapan telah jelas,” katanya.
Tidak wajar terpesong dari tujuan asal
Sementara itu, Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Abu Hafiz Salleh Hudin turut mengingatkan agar bacaan qunut nazilah tidak digunakan melencong dari tujuan asalnya.
Beliau berkata, ulama membincangkan bahawa qunut itu dibacakan ke atas musuh Islam dalam keadaan bencana atau perang seperti yang sedang berlaku di Gaza.
Justeru Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Quran dan Sunnah, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan itu berkata, perbuatan terpesong Ahli Parlimen pembangkang itu perlu dipandang serius oleh masyarakat.
Manakala Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama Parti KEADILAN, Amidin Abdul Manan pula menegaskan, tindakan Ahli Parlimen pembangkang itu yang menyamakan persaingan politik antara parti dengan perseteruan Rasulullah SAW dengan musyrikin Makkah adalah bukti ketabsuban sempit kepartian.