Nasional

Arab Saudi anggap pengurusan TH adalah terbaik – Menteri Agama

Operasi haji yang dilaksanakan pada tahun ini adalah sangat memuaskan dan kerajaan Arab Saudi menganggap pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) adalah terbaik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata, perkara berkenaan dizahirkan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah secara peribadi kepadanya baru-baru ini.

“Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah secara peribadi maklum kepada saya bagaimana pengurusan TH memang pada beliau dianggap yang terbaik.

“Kita juga sedia maklum atas dasar pengurusan pentadbiran terbaik itu kerajaan Arab Saudi telah menganugerahkan Labaittom kepada TH secara konsisten tiga tahun berturut-turut,” katanya.

Beliau berkata, jemaah haji Malaysia juga menerima pujian kerana berdisiplin, mempunyai ilmu pengetahuan dan budi pekerti sewaktu melaksanakan rukun Islam kelima itu.

“Yang ini (sebab) peranan TH mainkan sebelum mereka (jemaah) bertolak, mereka hadir kursus asas dan haji perdana,” katanya.

Mohd Na’im berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut kumpulan terakhir jemaah haji Malaysia sebanyak 270 orang yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di Sepang, Selangor pada Sabtu.

Turut hadir Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman.

Related Articles

Back to top button