PM Anwar bincang isu kepentingan dua negara pada sesi menghadap Sultan Brunei
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, yang berada di ibu kota pada Sabtu.
Melalui satu hantaran di laman Facebooknya Anwar menjelaskan, pertemuan itu membincangkan pelbagai kerjasama yang sedang dirangka kedua buah negara.
“Alhamdulillah Paduka Seri Baginda Sultan dan saya berpeluang menilai kemajuan kerjasama yang sedang giat berlangsung antara Malaysia dan Brunei Darussalam selain membincangkan beberapa perkara yang menjadi kepentingan bersama.
“Mendoakan semoga hubungan kedua-dua negara terus diperkukuh demi manfaat bersama, insya-Allah,” kata beliau.
Anwar melalui hantaran sama turut memaklumkan, turut dibincangkan adalah persediaan Rundingan Pemimpin Tahunan ke-25 yang bakal berlangsung di Bandar Seri Begawan bulan depan.
BACA LAGI: PM Anwar sembah tahniah pada Agong ke-17
Terdahulu, Sultan Hassanal Bolkiah bersama Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan berangkat ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara pada Sabtu.
Brunei adalah rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara ASEAN, dengan jumlah dagangan berjumlah AS$2.04 bilion atau RM9.31 bilion pada tahun lalu.