Nasional

Kredit karbon keluaran Malaysia pertama akan dilelong di bawah Bursa Carbon Exchange – Nik Nazmi

Bursa Carbon Exchange (BCX) akan melaksanakan lelongan kredit karbon keluaran Malaysia yang pertama pada Khamis.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kenyataan memaklumkan kredit karbon tersebut dijana daripada Projek Pemuliharaan Hutan Hujan Kuamut (Projek Kuamut) di Sabah.

Beliau turut menyatakan syarikat-syarikat yang membeli kredit karbon tersebut secara tidak langsung akan menyumbang kepada pemeliharaan hutan semula jadi, biodiversiti dan menangani perubahan iklim.

“Melalui lelongan ini, penyertaan syarikat yang melabur dalam kredit karbon merupakan satu langkah yang kukuh dalam merealisasikan aspirasi nasional untuk memupuk kerjasama awam-swasta dalam menangani isu perubahan iklim.

“Inisiatif tersebut juga selaras dengan komitmen kerajaan terhadap kelestarian, pematuhan kawalselia dan tanggungjawab sosial korporat bagi menjamin manfaat yang benar kepada pemeliharaan alam sekitar diperolehi,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Nik Nazmi turut menyatakan badan-badan korporat yang melabur dalam kredit karbon tersebut bukan sahaja dapat memperkasakan jenama masing-masing, malah mencerminkan bahawa mereka menjadi peneraju dalam pasaran karbon negara.

Oleh itu, beliau menyeru semua pihak yang berminat untuk mengambil bahagian dalam lelongan tersebut untuk menjamin masa depan yang lebih lestari untuk generasi akan datang.

Related Articles

Back to top button