Global

Pengarah Perkhidmatan Rahsia AS letak jawatan selepas insiden tembakan Trump

Pengarah Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat (AS) Kimberly Cheatle telah meletakkan jawatan susulan desakan meluas berhubung cubaan membunuh calon Republikan Donald Trump, lapor NBC News pada Selasa.

Timbalan Pengarah, Ronald Rowe, akan berkhidmat sebagai pemangku pengarah, kata Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Alejandro Mayorkas.

Peletakan jawatan itu dibuat selepas beliau disoal siasat oleh penggubal undang-undang Dewan Perwakilan AS pada Isnin mengenai kegagalan agensi berkenaan untuk menjamin keselamatan perhimpunan Trump pada 13 Julai di Butler, Pennsylvania.

Dalam kejadian tersebut, Trump, cedera di telinga kanan dan seorang peserta perhimpunan terbunuh.

Suspek, yang dikenal pasti sebagai Thomas Crooks berusia 20 tahun, ditembak dan dibunuh oleh penembak tepat Perkhidmatan Rahsia.

Cheatle, yang mengetuai agensi itu sejak 2022, memberitahu penggubal undang-undang dia bertanggungjawab ke atas insiden tembakan tersebut, menyifatkan ia sebagai kegagalan terbesar oleh Perkhidmatan Rahsia sejak tragedi Presiden Ronald Reagan ditembak pada 1981.

Cheatle sebelum ini berkhidmat selama 27 tahun dalam Perkhidmatan Rahsia.

Dia mengambil alih selepas beberapa siri skandal yang melibatkan agensi itu termasuk kes sepuluh ejen yang dipecat selepas pendedahan mereka membawa wanita, sebahagiannya pelacur ke bilik hotel ketika lawatan Presiden Barack Obama ke Colombia pada 2012. – Reuters

Related Articles

Back to top button