Rusuhan Di Bangladesh: misi khas bawa pulang rakyat Malaysia berjaya
Misi khas membawa pulang 123 rakyat Malaysia dari Bangladesh menerusi penerbangan khas berjalan lancar.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, operasi atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mendapat kerjasama baik daripada kerajaan Bangladesh dan pihak berkuasa tempatan negara itu.
“Kerajaan ingin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Luar Bangladesh dan semua agensi berkaitan atas kerjasama serta bantuan diberikan.
“Operasi ini berjalan lancar dengan kerjasama hubungan kerajaan kepada kerajaan (G2G) agensi dan semua pihak terlibat. Buktinya mereka (rakyat Malaysia) selamat sampai dengan elok,” katanya.
Saifuddin berkata begitu pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini, pada Selasa.
Penerbangan khas AirAsia berlepas pulang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal Dhaka itu tiba di KLIA2 kira-kira jam 4.56 petang.
Terdahulu, ribuan pelajar di Bangladesh mengadakan demonstrasi sejak 1 Julai susulan keputusan mahkamah mengembalikan kuota untuk pekerjaan awam yang dimansuhkan pada 2018.
Ketegangan yang memuncak di negara itu telah meragut lebih 130 nyawa sejak pertengahan Julai.
Perdana menteri pada Isnin berkata kerajaan memutuskan untuk membawa pulang pelajar Malaysia di Bangladesh berikutan ketegangan yang memuncak di negara itu.
Misi berkenaan melibatkan 15 pegawai dari Kementerian Luar Negeri, Jabatan Perdana Menteri dan Majlis Keselamatan Negara.
BACA LAGI: PM Anwar setuju awalkan penyaluran dana Tabung Wakaf MARA Madani
Sementara itu Saifuddin memuji kecekapan semua pihak dalam menjalankan misi membawa pulang rakyat Malaysia meskipun wujud beberapa kekangan seperti sekatan internet dan telekomunikasi.
“Walau kekangan ini wujud, pihak Suruhanjaya Tinggi boleh manfaat teknologi sedia ada seperti SMS (sistem pesanan ringkas),” ujarnya.