Kerajaan MADANI cadang perluas skim mySalam untuk golongan M40
Kerajaan MADANI bakal mempertimbangkan cadangan untuk memperluas skim Perlindungan Kesihatan Masyarakat (mySalam) kepada golongan isi rumah berpendapatan kurang RM100,000 (M40).
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Yin bagaimanapun berkata, perkara itu akan diputuskan kerajaan selepas Lembaga Pemegang Amanah mySalam meneliti cadangan tersebut.
“Walaupun Kerajaan telah memutuskan supaya skim mySalam ini diperluaskan kepada golongan M40 pada tahun 2019, pelaksanaannya telah ditangguhkan pada tahun 2020 berikutan penularan wabak Covid-19.
“Kewajaran sama ada skim mySalam ini diperluaskan kepada golongan M40 akan dipertimbangkan oleh Lembaga Pemegang Amanah mySalam sebelum diputuskan oleh Kerajaan,” katanya di Dewan Negara pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Dr. Wan Martina Wan Yusoff yang bertanyakan sama ada Kerajaan berhasrat untuk memperluaskan skim ini kepada golongan M40.
Skim ini menyediakan pembayaran tunai untuk mereka yang didiagnosis dengan salah satu daripada 45 penyakit kritikal dan pembayaran tunai RM50 sehari hospitalisasi untuk maksimum 14 hari.
BACA LAGI: Koperasi diseru manfaatkan bantuan, kemudahan pembiayaan disedia kerajaan
Sementara itu ketika menjawab soalan tambahan Senator Dr Lingeshwaran R Arunasalam mengenai jumlah pampasan yang dibayar kerajaan dibawah skim tersebut beliau menjelaskan, sebanyak RM936.12 juta nilai tuntutan telah dibayar bagi tempoh 2019 hingga Disember 2023
Tuntutan itu melibatkan 1.27 juta penerima manfaat merangkumi individu B40 serta pasangan berumur 18 hingga 65 tahun yang merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).