Uncategorized

Malaysia akan gerak sokongan terhadap Palestin susulan keputusan terbaharu ICJ – Fahmi

Malaysia akan mengambil langkah segera menggerakkan sokongan terhadap Palestin susulan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) baru-baru ini yang memutuskan bahawa pendudukan Israel di wilayah Palestin melanggar undang-undang antarabangsa.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, pihak kerajaan akan menghubungi negara-negara yang sehaluan dalam isu Palestin untuk tindakan bersama di pentas Forum Antarabangsa.

“Susulan keputusan ICJ ini, Malaysia akan segera menghubungi beberapa negara termasuk Indonesia, Brunei, dan negara-negara yang sepemikiran, serta beberapa organisasi termasuk Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), untuk mengambil tindakan bersama di Forum Antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Majlis Keselamatan PBB (UNSC), dan Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC),” kata Fahmi pada sidang media Mingguan Kabinet di kementeriannya pada Rabu.

ICJ dalam hujahannya baru-baru ini memutuskan bahawa rejim Zionis Israel telah melanggar undang-undang antarabangsa berdasarkan perenggan ke-6 Artikel 49 Konvensyen Geneva ke-4.

Mahkamah Tertinggi PBB itu juga memutuskan Israel mesti membayar ganti rugi terhadap kerosakan yang disebabkan oleh pendudukannya di wilayah Palestin.

Sementara itu Fahmi berkata, Jemaah Menteri menyambut baik keputusan ICJ itu dan turut mengalu-alukan persefahaman dan perpaduan antara pergerakan Fatah dan Hamas melalui deklarasi Beijing yang dicapai pada Isnin.

BACA LAGI: PM Anwar tuntut semua negara perakui kedaulatan Palestin

“Jemaah menteri turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Republik Rakyat China atas usaha mempertemukan 14 fraksi perjuangan rakyat Palestin, dan diharapkan penyatuan ini akan membuka lembaran baharu buat negara Palestin,” katanya.

Related Articles

Back to top button