Negeri

MB Johor buat lawatan mengejut di Klinik Kesihatan Kulai

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membuat lawatan mengejut ke Klinik Kesihatan Kulai, Johor pada Khamis susulan aduan pengguna mengenai keadaan fasiliti itu yang usang dengan keperluan yang tidak mencukupi.

Katanya, purata harian pelawat ke Klinik Kesihatan Kulai berjumlah lebih 1,000 orang setiap hari dan fasiliti itu tidak mampu menampung populasi penduduk di kawasan berkenaan yang semakin bertambah.

“Atas faktor ini, terdapat cadangan untuk pembinaan sebuah klinik kesihatan baharu di daerah Kulai bagi mengurangkan kesesakan.

“Beberapa perkara disuarakan pihak pengurusan klinik dan orang awam dalam lawatan mengejut ini termasuk kekurangan aset seperti mesin X-ray dan mesin ultrasound.

“Selain itu, keadaan fasiliti seperti kerusi dan kipas yang telah usang dan rosak di ruang menunggu.

“Laluan keluar masuk kenderaan di klinik yang sesak dan sempit, parkir kenderaan yang terhad dan tidak tersusun di kawasan klinik selain tiada laluan susur gajah yang menyambungkan setiap bangunan di klinik kesihatan,” katanya dalam kenyataan.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri akan membantu sedaya mungkin bagi menyelesaikan isu berkenaan.

“Selain itu, kita akan bekerjasama erat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) supaya adanya penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang bagi memastikan kualiti perkhidmatan kesihatan di seluruh Johor terus cemerlang,” katanya.

Related Articles

Back to top button