KKM belanjakan hampir RM250,00 juta ‘outsource’ lebih 93 ribu pesakit jantung ke IJN
Sejumlah RM248.97 juta telah dibelanjakan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk melaksanakan khidmat luar (outsource) 93,495 pesakit jantung kepada Institut Jantung Negara Sdn Bhd (IJNSB).
Kementerian itu melalui jawapan dimuat naik dalam laman sesawang Parlimen berkata perbelanjaan rawatan itu melibatkan pesakit jantung daripada golongan kakitangan kerajaan, pesara Persekutuan dan juga pesakit kurang mampu bagi tempoh Januari tahun ini hingga 31 Mei lepas.
“Bagi 2023, jumlah bilangan lawatan pesakit jantung di IJNSB adalah 233,885 dan perbelanjaan kerajaan dalam menanggung kos rawatan adalah RM606.52 juta,” kata KKM.
Ia bagi menjawab soalan dikemuka Senator Datuk Mustafa Musa yang ingin tahu jumlah pesakit jantung seluruh negara dan jumlah tanggungan kos ubatan, rawatan dan perkhidmatan pakar bagi tahun lepas dan tahun ini.
BACA LAGI: KKM komited pastikan pindaan RUU Perubatan dikuatkuasa segera
Sementara itu menurut KKM, sepanjang tahun lepas sebanyak RM316 juta telah dibelanjakan untuk menampung kos perolehan ubat-ubatan yang diperlukan bagi rawatan penyakit jantung manakala bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini RM130 juta.
KKM berkata berdasarkan Pusat Informasi Kesihatan (PIK) 259,259 pesakit jantung menerima rawatan pesakit dalam di hospital kerajaan seluruh negara pada 2023 dan 641,590 pesakit lagi menerima rawatan pesakit luar manakala 450,960 pesakit menerima rawatan di klinik kesihatan.