Negeri

Selangor mahu jadi penyumbang terbesar pelaburan negara – Amirudin

Kerajaan Negeri Selangor tekad mahu kekal dan meneruskan momentum kecemerlangan sebagai antara penyumbang terbesar pelaburan negara.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari pada majlis perasmian Persidangan Perniagaan Asean Selangor (SABC) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Selangor (SIBS) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada Khamis berkata, hasrat itu mampu dicapai berdasarkan nilai pelaburan RM12 bilion yang direkodkan setakat suka pertama tahun ini selain usaha digariskan melalui pelan pembangunan negeri.

“Kita berada di nombor tiga dengan RM12 bilion pelaburan. Tahun lepas kita nombor dua dengan RM55 bilion pelaburan secara keseluruhan. Jadi kita sentiasa berada dalam sasaran untuk mengekalkan jumlah pelaburan yang besar.

“Pertumbuhan ekonomi negeri berada di landasan tepat. Ini sekali gus dapat mencipta peluang ekonomi dan hasil dinikmati oleh rakyat,” katanya.

Pada Mac, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengumumkan pelaburan direkodkan Selangor tahun lalu sebanyak RM55.3 bilion, melebihi sasaran ditetapkan iaitu RM45 billion.

Awal bulan ini, laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri meningkat kepada 25.9 peratus pada 2023, bertambah lebih baik daripada 25.5 peratus tahun sebelumnya.

Pertumbuhan ekonomi juga meningkat sebanyak 5.4 peratus, melebihi pertumbuhan sederhana seluruh negara pada kadar 3.6 peratus tahun lalu.

Laporan turut menunjukkan pertumbuhan KDNK tiga negeri lain merekodkan angka melebihi kadar seluruh negara iaitu Pahang (5.2 peratus), Johor (4.1 peratus) dan Kuala Lumpur (3.7 peratus).

BACA LAGI: Selangor pada barisan hadapan jayakan hasrat kerajaan jadikan Malaysia negara maju

Sementara itu Amirudin berkata Selangor turut memiliki megatrend ekonomi antaranya digitalisasi dan tenaga hijau yang mampu menyokong dan merancakkan sektor pelaburan.

“Ini merupakan antara tumpuan malah ia sudah dimasukkan dalam kerangka Rancangan Selangor Pertama (RS-1), yang akan memberi peluang kepada pelabur luar datang,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button