Semasa

KPKT utamakan projek PPR kepada negeri sediakan tapak pembangunan sesuai – Menteri

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memohon kerjasama kerajaan negeri untuk menyediakan tanah yang sesuai sebagai lokasi membina projek Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara.

Menterinya, Nga Kor Ming dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Projek Tamu Putatan di Sabah pada Jumaat berkata, pihaknya memberi keutamaan pelaksanaan pembinaan PPR, yang bakal dinaik taraf kepada Program Residensi Rakyat (PRR), untuk negeri yang menyediakan tanah bagi tujuan itu.

Langkah itu jelasnya bagi memastikan peruntukan yang disalur digunakan sepenuhnya untuk membina rumah berkualiti tinggi tanpa perlu mengeluarkan kos membeli tanah.

“Dasar KPKT sangat jelas, kerajaan negeri yang sudi serahkan tanah kepada KPKT akan diberi keutamaan untuk membina PPR.

“Kita mahu membina perumahan mampu milik terbaik dan memastikan kualitinya ada. Oleh itu, kerjasama antara negeri dan Persekutuan sangat penting,“ katanya.

Sementara itu menurut beliau, sebanyak 32 tapak di beberapa negeri telah diserah kepada KPKT setakat ini untuk proses penilaian bagi menentukan kesesuaian pembangunan PPR.

Dalam perkembangan berkaitan beliau memaklumkan akan bertemu Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor esok bagi membincangkan tanah yang terlibat untuk pelaksanaan projek PPR di Sabah.

BACA LAGI: Pemilik PPR sewakan rumah bakal dikenakan tindakan

“Permintaan rumah di Sabah sentiasa dekat di hati kementerian dan kita sedang muktamadkan dengan kerajaan negeri iaitu jika serah tanah, prosedurnya KPKT akan hantar pasukan teknikal untuk lihat tapak sesuai atau tidak.

“Kita ingin membina perumahan bersepadu dengan pelbagai kemudahan. Saya yakin akan ada kerjasama erat dengan negeri demi kepentingan rakyat,“ katanya.

Related Articles

Back to top button