Semasa

Fadhlina bincang cabaran bina negara pada pertemuan dengan bekas PM ke-5 Indonesia

Kementerian Pendidikan telah membincangkan isu mengenai pendidikan dan cabaran membina negara pada pertemuan menterinya, Fadhlina Sidek dengan Ketua Umum Dewan Da’wah Islamiyah Indonesia Dr Adian Husaini pada Jumaat.

Fadhlina melalui satu hantaran di laman Facebooknya berkata, perbincangan berkisar mengenai usaha mempertahan nilai, moral dan agama serta kendala sebagai pimpinan negara.

Beliau turut menyifatkan pertemuan itu sebagai manifestasi hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia dalam konteks ilmu, kepimpinan dan dakwah.

Hubungan baik itu juga dalam konteks peranan tokoh agama dan ahli politik Indonesia Mohammad Natsir yang telah mengungkapkan ‘politik di jalur dakwah’ sebagai asas memimpin Indonesia suatu masa dahulu.

“Hubungan awal terbina semasa bapa saya menjadi aktivis dakwah ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) dan hubungan keluarga dakwah ini diteruskan hingga kini.

“Semoga hubungan antara kedua-dua negara terus erat dan memberikan manfaat yang besar kepada ummah,” kata Ahli Parlimen Nibong Tebal itu.

Sebagai rekod, Fadhlina merupakan anak kepada bekas Presiden ABIM Allahyarham Profesor Datuk Dr Siddiq Fadzil yang merupakan aktivis pendidikan dan tokoh ilmuan negara.

BACA LAGI: Nasihat PM Anwar kepada pendidik perlu dilihat secara positif 

Dewan Da’wah Islamiyah Indonesia yang diasaskan oleh Mohammad Natsir pada 26 Feb 1967 merupakan sebuah organisasi dakwah terkemuka di Indonesia.

Mohammad Natsir merupakan Perdana Menteri kelima Indonesia bermula 5 Sept 1950 hingga 26 April 1951 sebelum jawatan itu dimansuhkan di republik itu.

Related Articles

Back to top button