Semasa

Garis panduan sumbangan sekolah: Setiausaha politik Fadhlina persoal reaksi Lim Guan Eng

Reaksi Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang mendakwa Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengikut telunjuk PAS dalam isu sumbangan kepada sekolah vernakular dibidas.

Setiausaha Politik menteri pendidikan, Atiqah Syairah Shaharuddin berkata, reaksi Lim bukan saja tak sependapat dengan menteri, bahkan bertentangan keputusan Kabinet.

Tidak sekadar itu, Reaksi Lim juga tak selari dengan pendirian pemimpin utama dalam partinya, yang turut membuat keputusan bersama berkait isu tersebut dalam Kabinet.

“Reaksi diberikan oleh Ahli Parlimen Bagan jelas menujukkan beliau komited dalam bukan sahaja tidak sependapat dengan menteri pendidikan, tetapi juga keputusan Kabinet.

“Rakan sepasukan parti YB Bagan juga sudah membangkitkan isu khusus ini dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan diputuskan bersama. Bahkan selepas kenyataan media dibuat, mengapa beliau masih lagi menari dalam naratif yang didendangkan oleh pasukan pembangkang?

“Jika Fadhlina dikira mengikut telunjuk PAS, Guan Eng ikut telunjuk siapa,” kata Atiqah Syairah Shaharuddin dalam kenyataan pada Sabtu.

Kementerian Pendidikan pada Jumaat mengumumkan Jemaah Menteri telah mengekalkan garis panduan sedia ada berhubung penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah.

Garis panduan itu antara lain menggariskan aktiviti sumbangan kepada sekolah tidak boleh memapar dan mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah, selain penganjuran aktiviti melibatkan jenama minuman keras tidak boleh membabitkan pelajar Islam.

BACA LAGI: IAIS perlu terus main peranan selaras isu komuniti Muslim antarabangsa

Bagaimanapun Lim kemudian mengkritik pengumuman itu dengan berkata kenyataan Fadhlina berkaitan perkara itu agak keras dan memintanya menjadi menteri pendidikan untuk kerajaan perpaduan dan rakyat, bukannya ‘menteri pendidikan PAS’.

“Sebagai seorang ahli dewan rakyat yang berkhidmat hampir 4 dekad di dalam parlimen, serta pengalaman di negeri dan persekutuan, pastinya beliau mahir dengan mengurus krisis dan tampil sebagai negarawan untuk tidak bermain dengan isu yang menyumbang kepada ketegangan kaum dan agama,” tambah Atiqah dalam kenyataan tersebut.

Sementara itu Lim dalam laporan media malam tadi berkata sebagai anggota kerajaan, beliau menyokong penuh keputusan kabinet.

Dipetik laporan Sin Chew Daily, bekas Ketua Menteri itu berkata, kenyataannya mengenai pendirian Fadhlina dibuat sebelum kenyataan kementerian itu dikeluarkan.

Related Articles

Back to top button