Semasa

Perkhidmatan media sosial, pesanan internet perlu lesen berkuatkuasa 2025 – MCMC

Kerajaan menetapkan supaya semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan pada Sabtu berkata, langkah itu akan dikuat kuasa bermula 1 Januari 2025, susulan kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan internet diperkenal bermula 1 Ogos ini.

“Penguatkuasaan ini selaras keputusan Jemaah Menteri bahawa perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet di negara ini, mesti mematuhi undang-undang Malaysia.

“Keputusan (perlesenan) itu demi memerangi peningkatan kes jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

“Ia bakal mewujudkan ekosistem dalam talian lebih selamat serta pengalaman yang lebih baik untuk para pengguna, terutama buat kanak-kanak dan seisi keluarga,” kata Suruhanjaya itu.

BACA LAGI: PM Anwar arah agensi berkuasa lebih serius tangani buli siber

Kenyataan itu turut menjelaskan, sebelum ini platform-platform terbabit dikecualikan daripada keperluan pelesenan berdasarkan Perintah Komunikasi dan Multimedia (Pelesenan) (Pengecualian) 2000.

Susulan penguatkuasaan itu, kegagalan mana-mana perkhidmatan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil mengikut Akta 588.

Related Articles

Back to top button