ekonomi

Amir Hamzah yakin Malaysia akan dapat semula status Harimau Asia

Malaysia sedang mencatat kemajuan ketara untuk mendapatkan semula status Harimau Asia, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Pada ucapan di majlis makan malam dianjurkan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura beliau berkata, ia dapat dilihat dari tinjauan positif penganalisis dan agensi penarafan dan disokong oleh angka ekonomi negara yang memberangsangkan.

Selain itu beliau juga memaklumkan telah menerima maklum balas positif berhubung prestasi ekonomi Malaysia yang kukuh semasa pertemuan dengan pelabur dan mereka menyatakan keyakinan mengenai pertumbuhan masa depan negara.

“Untuk mendapatkan semula status Harimau Asia bukan sekadar impian biasa. Kerajaan dan saya amat yakin bahawa kita boleh mencapai matlamat ini.

“Kami juga melihat ramai penganalisis kewangan di luar sana, banyak agensi penarafan, ramai orang yang mengakui bahawa Malaysia secara asasnya kembali di landasan yang betul,” katanya kepada diaspora Malaysia di republik itu.

Amir Hamzah sementara itu menegaskan, Kerajaan MADANI telah berjaya mengekalkan kestabilan selama 21 bulan setakat ini selepas beberapa siri perubahan dalam kerajaan dan pandemik Covid-19 yang menghentikan kemajuan ekonomi negara.

Kerajaan terpaksa menggunakan beberapa “keputusan yang sukar untuk tujuan yang betul” apabila negara berdepan dengan hutang kira-kira RM1.5 trilion, antaranya adalah subsidi diesel dan elektrik bersasar untuk mewujudkan lebih banyak ruang fiskal bagi pertumbuhan ekonomi.

BACA LAGI: Malaysia berjaya pecah ‘tembok kerungsingan’ setelah catat pertumbuhan ekonomi 

Beliau sementara itu berkata, tahun lepas jumlah perbelanjaan mengurus kerajaan ialah RM311 bilion, RM81 bilion disalurkan ke arah bantuan sosial dan sokongan subsidi manakala 48 peratus lagi dibelanjakan untuk bayaran pencen, imbuhan perkhidmatan awam dan liabiliti lain.

“Jika anda menambah semua kewajipan lain yang kami ada, kami sebenarnya hanya mempunyai kira-kira dua hingga tiga peratus lebihan fiskal untuk bergerak, penting untuk mencipta semula ruang fiskal bagi membolehkan kerajaan berbelanja lebih pada infrastruktur yang boleh menarik lebih banyak perniagaan dan mengaktifkan ekonomi,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button