Semasa

Anwar hulur sumbangan buat pelawak Sathiya, tampung kos perubatan angin ahmar

Nasib pelawak veteran tersohor Sathia Periasamy atau lebih dikenali dengan nama Sathiya, yang diserang penyakit angin ahmar baru-baru ini mendapat perhatian perdana menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui satu hantaran di laman Facebooknya berkata, beliau telah menghulurkan sumbangan kepada pelakon sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu bagi membantu kos rawatan susulan Sathiya.

Sumbangan itu diserahkan Setiausaha Politik beliau Ahmad Farhan Fauzi yang menziarahi pelawak berkenaan di kediamannya.

“Sathiya masih mampu tersenyum dan sempat berbicara mengenai perjalanan seninya.

“Namun beliau masih memerlukan rawatan berkala dan tahap kesihatannya perlu sentiasa dipantau

“Sebelum pulang, saudara Farhan telah menghulurkan sumbangan bagi pihak saya bagi mengurangkan beban kos perubatan yang perlu ditanggung,” katanya.

Sebelum ini, Sathiya, 60, memaklumkan mengenai perkembangan terkini kesihatannya selepas lima hari terkena serangan angin ahmar ringan.

BACA LAGI: PM Anwar hulur sumbangan kepada Syed Harun, reformis awal yang diuji masalah kesihatan

Menurut anak sulungnya iaitu Vickynesawwry Nayar, 34, pelawak itu dikejarkan ke HKL selepas rawatan segera di sebuah klinik mendapati tekanan darahnya rendah dipercayai berpunca daripada masalah kesihatan tersebut

Sementara itu Anwar melalui hantaran tersebut turut mendoakan agar Sathiya kembali pulih secepat mungkin dan urusannya dipermudah sekali gus dapat terus berkarya.

Related Articles

Back to top button