Sukan

Keselamatan kontinjen negara diutamakan sepanjang kejohanan Olimpik Paris 2024

Jaminan keselamatan setiap anggota kontinjen negara diutamakan sepanjang cabaran memburu emas di Perancis, kata Ketua Kontinjen Malaysia Ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Dalam kekalutan negara tuan rumah mendepani ancaman keselamatan daripada pelbagai sudut, Hamidin menegaskan bahawa Sekretariat Kontinjen dalam Perkampungan Atlet di St Ouen-sur-Seine sentiasa mengemas kini maklumat keselamatan daripada pusat khidmat Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC).

Selain itu katanya, pihaknya mendapat nasihat dan maklumat terkini daripada Kedutaan Malaysia di Paris berhubung langkah-langkah berjaga di sekitar lokasi strategik dan venue pertandingan serta latihan.

“Sebagai ketua kontinjen Malaysia, saya mengingatkan Sekretariat untuk mendapatkan nasihat dan maklumat terkini berhubung langkah-langkah berjaga yang dilaksanakan oleh pihak penganjur. Maklumat yang dikumpul adalah penting untuk pengurusan keselamatan kontinjen yang teratur dan terjamin.

“Di pihak kami, kami menasihatkan agar semua atlet dan jurulatih mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang termaktub dari segi penggunaan pengangkutan, pergerakan dalam dan di luar perkampungan sukan serta sekitar venue latihan dan pertandingan.

“Walaupun saya dapati pihak keselamatan Perancis mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengepung dan menutup laluan sekitar venue pertandingan daripada dilalui kenderaan serta menutup beberapa laluan pejalan kaki di stesen-stesen keretapi bawah tanah Metro, saya menasihatkan agar setiap anggota kontinjen sama ada atlet, jurulatih dan pegawai agar mengambil langkah berjaga-jaga dan hadkan pergerakan mereka,” katanya.

Hamidin mengulas laporan media bahawa pusat media utama (MPC) di Palais de Congres di tengah kota Paris ditutup sementara apabila pihak keselamatan Perancis menerima ancaman bom.

Selain 26 atlet dan 40 pegawai yang membentuk kontinjen Malaysia, seramai 25 pengamal media terdiri daripada petugas agensi berita nasional, stesen televisyen yang juga pemegang hak siaran serta petugas media kontinjen dan organisasi berita antarabangsa sedang bertugas di Paris.

Related Articles

Back to top button