Nasional

LRT3 akan beroperasi seawal Ogos 2025

Projek pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) membabitkan 20 stesen dijangka mula beroperasi seawal-awalnya pada Ogos 2025.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pengoperasian itu sedikit lewat berbanding jadual asal iaitu pada Mac 2025 berikutan ada kerja yang tidak dapat dilaksanakan ketika pandemik Covid-19.

Beliau berkata, setakat ini kerja pembinaan bagi jajaran dari Bandar Utama ke Johan Setia sudah 95.6 peratus siap dan dijangka selesai pada Oktober ini.

“Selepas itu akan dimulakan kerja pengintegerasian sistem dan dijangka mengambil masa beberapa bulan sehingga awal tahun depan dan selepas itu ia bersedia untuk pengujian yang akan mengambil masa tiga hingga empat bulan.

“Jadi, kita menjangkakan LRT3 akan siap sepenuhnya dan mula beroperasi menjelang suku ketiga tahun hadapan sama ada Ogos atau September,” katanya pada sidang media selepas meninjau status terkini projek LRT3 di Stesen Pasar Jawa pada Isnin.

Beliau berkata, susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Belanjawan 2024, skop asal LRT3 akan dikembalikan dengan tambahan beberapa stesen.

“Sukacita saya hendak umumkan bahawa, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Julai lalu, sudah bersetuju untuk mengembalikan semula skop projek LRT3 dari Bandar Utama ke Johan Setia dengan tambahan lima stesen iaitu Tropicana, Temasya, Raja Muda, Bukit Raja dan Bandar Botanik.

“Beberapa kerja lain iaitu pembelian tambahan tujuh set tren tiga gerabak, pembesaran depoh tren di Johan Setia, pembelian 150 buah bas elektrik dan pembinaan dua depoh bas membabitkan kos RM3.8 bilion.

“Tambahan lima stesen dan kerja lain akan mengambil masa dua tahun, tetapi ia tidak akan memberikan kesan kepada tarikh pembukaan yang mana kita akan terus beroperasi dengan 20 stesen. Kerja pembinaan lima stesen tambahan itu tidak akan mengganggu operasi,” katanya.

Related Articles

Back to top button