ekonomi

Permohonan Malaysia sertai BRICS sudah dihantar – PM Anwar

Malaysia telah menghantar surat permohonan secara rasmi untuk menyertai organisasi antara kerajaan BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) kepada Russia selaku Pengerusi BRICS.

“Malaysia telah menghantar surat permohonan untuk menyertai organisasi (BRICS) kepada Russia selaku Pengerusi BRICS, selain menyatakan keterbukaan untuk menyertainya sebagai negara anggota atau rakan strategik,” menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Kenyataan itu menyusul kunjungan hormat Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov ke atas Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana pada Ahad.

BRICS yang merangkumi Brazil, Russia, India dan China ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi dan sedang pesat membangun. Afrika Selatan kemudian menyertai blok itu pada 2010, sebelum disertai Mesir, Ethiopia, Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

BRICS kini menyumbang satu perempat daripada ekonomi global, merangkumi satu perlima daripada perdagangan global, dengan populasi sekitar 40 peratus penduduk dunia.

Mengulas mengenai pertemuan kedua-dua pemimpin itu, PMO turut menyatakan hasrat Malaysia menyertai organisasi BRICS telah menjadi inti pati utama perbincangan.

Dalam pertemuan hampir sejam itu, Anwar dan Lavrov juga membincangkan usaha perkukuh hubungan Malaysia-Russia serta memperluas kerjasama dalam pelbagai sektor meliputi perdagangan, pelaburan, keselamatan, pertahanan, pendidikan tinggi, sains dan teknologi, pelancongan dan kebudayaan.

BACA LAGI: Penyertaan Malaysia ke dalam BRICS bakal kukuh kedudukan negara – Penganalisis

Turut dibincangkan ialah situasi semasa di Palestin termasuk penegasan Malaysia mengenai keperluan mendesak untuk gencatan senjata kekal dan bantuan kemanusiaan pantas di Gaza serta Palestin diterima sebagai ahli penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Selain itu mengenai Ukraine, Anwar turut menggesa agar dialog dan perbincangan menjadi jalan keluar kepada konflik berkenaan.

Related Articles

Back to top button