Anwar

PM Anwar beri sumbangan RM5,000 kepada mangsa kebakaran di Tambun

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan segera sebanyak RM5,000 kepada setiap keluarga yang terlibat dalam kebakaran lapan rumah di Kampung Manjoi, Tambun, Perak pada Ahad.

Anwar, yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik beliau, Muhammad Kamil Abdul Munim.

“Saya difahamkan hasil laporan awal pihak bomba mendapati kebakaran berpunca daripada litar pintas.

“Sumbangan segera sebanyak RM5,000 telah disalurkan saudara Kamil bagi pihak saya kepada setiap keluarga yang terlibat.

“Mendoakan urusan mereka dipermudah dan diberi ketabahan tatkala menghadapi ujian ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Terdahulu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira 4.49 petang.

Dalam kejadian itu, sebanyak lapan buah rumah telah musnah dan enam daripadanya tidak berpenghuni melibatkan 90 peratus kemusnahan, bagaimanapun tiada mangsa terlibat.

Related Articles

Back to top button