Sesi libat urus perlu diadakan, elak salah faham terhadap Islamofobia – PM Anwar
Sesi libat urus antara umat Islam dan yang lain perlu diadakan bagi membolehkan masyarakat memahami antara satu sama lain dan mengelakkan salah faham yang membawa kepada Islamofobia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, zaman pasca penjajahan Barat, masih mengekalkan ajaran lama mereka dan maka oleh yang demikian salah faham, maklumat yang salah dan penolakan kepada yang lain, yang kemudiannya diistilahkan sebagai Islamofobia.
“Bagaimana anda bertahan dan hidup dalam masyarakat berbilang kaum, berbilang agama di Malaysia dan mengelak membincangkan agama, budaya, tamadun lain… dan kemudian menuntut supaya barat memahami kita.
“Jadi saya fikir sesi libat urus diperlukan untuk membolehkan orang lain memahami kita, dan untuk kita memahami mereka,” katanya ketika berucap pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) ke-7, Berdiri Bersama : Umat Islam dan Kemanusiaan Sejagat, di Ipoh, Perak pada Isnin.
Perasmian persidangan itu disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.
WCIT merupakan satu program anjuran Negeri Perak dan dianjurkan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) sejak 2012, disertai peserta dari lebih 21 negara.
Persidangan tiga hari yang bertujuan menyediakan platform dan saluran untuk pemimpin serantau dan antarabangsa, cendekiawan, intelektual, profesional serta orang ramai menyuarakan pandangan mereka dalam pertukaran idea yang dinamik bagi menangani masalah kontemporari sebenar yang mempengaruhi dunia masa kini.