ekonomi

Malaysia mampu kembali jadi ‘Harimau Asia’ jika capai status negara berpendapatan tinggi

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menegaskan, usaha mengembalikan Malaysia sebagai ‘Harimau Asia’ akan berjaya sekiranya Malaysia mampu mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2027.

Pada sidang media selepas majlis pelancaran Penemuan Banci Ekonomi 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM), di Putrajaya pada Isnin beliau berkata, status negara berpendapatan tinggi boleh dicapai sekiranya ekonomi negara tumbuh empat hingga lima peratus setiap tahun dengan ringgit mengukuh berbanding dolar AS.

“Piawaian ini adalah yang lebih mudah (untuk melayakkan Malaysia mendapat status tersebut). Ia juga bergantung kepada kemampuan kita menjadi hab kewangan antarabangsa di samping prestasi Bursa Malaysia yang positif,” katanya dipetik.

Sementara itu tambah Rafizi, prospek untuk Malaysia kembali menjadi Harimau Asia juga perlu berlandaskan kepada ketersediaan negara dalam pelbagai bidang lain termasuk dari segi kemampanan sektor tenaga serta pertumbuhan pusat data.

Justeru, katanya, kerajaan akan berusaha memastikan dasar dan program bagi tempoh lima tahun akan datang memberi tumpuan kepada sektor seumpama itu kerana sekiranya pertumbuhannya tidak selari dengan perancangan kerajaan, negara akan ketinggalan.

“Untuk jadi ‘Harimau’ kita perlu tumpu kepada sektor bernilai tinggi seperti penciptaan dan reka bentuk cip.. tetapi kalau tengok kepada banci syarikat, syarikat yang mereka bentuk cip masih lagi boleh dikira dengan jari,” katanya.

BACA LAGI: Amir Hamzah yakin Malaysia akan dapat semula status Harimau Asia

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan baru-baru ini dilaporkan berkata Malaysia sedang berada di landasan untuk mencapai semula status Harimau Asia.

Keyakinan itu berdasarkan tinjauan positif daripada penganalisis dan agensi penarafan, disokong oleh angka ekonomi negara yang memberangsangkan.

Related Articles

Back to top button