Uncategorized

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke Sambutan Hari Pahlawan 2024

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan bersempena dengan Sambutan Hari Pahlawan 2024 di Dataran Pahlawan, Putrajaya pada Rabu.

Istiadat sambutan yang dinaungi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu berkonsepkan perbarisan statik melibatkan empat detasemen terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), ATM, Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) dan Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM).

Acara dimulakan dengan persembahan lagu Negaraku, diiringi 21 das tembakan meriam yang disempurnakan Mej Hafizan Mat Ghani daripada 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat).

Sultan Ibrahim kemudian memeriksa kawalan kehormatan utama.

Perbarisan Hari Pahlawan hari ini melibatkan 17 pegawai dan 683 anggota lain-lain pangkat daripada PDRM dan ATM yang diketuai oleh Lt Kol Abang Raduan Abang Madihi daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Sempena Hari Pahlawan, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut menzahirkan penghargaan kepada warga ATM dan PDRM.

Baginda bertitah, di atas jasa, khidmat serta bakti yang dicurahkan dalam melindungi kedaulatan tanah air tercinta.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya, baginda yang juga merupakan Ketua Utama Negara dan pemerintah tertinggi ATM, menyanjung tinggi pengorbanan wira-wira negara dalam menjaga keamanan serta ketenteraman tanah air tanpa mengira masa.

Dalam masa sama, baginda juga tidak lupa dan turut menyampaikan salam takziah buat prajurit yang gugur di medan perang demi menjaga keamanan negara.

“Terima kasih para perwira negara. Jasa dan bakti anda akan sentiasa dikenang. Al-Fatihah dan salam takziah buat pahlawan dan perwira negara yang terkorban semasa bertugas.

“Semoga roh mereka yang beragama Islam sentiasa dicucuri rahmat Allah Subhanahu Wata’ala dan ditempatkan bersama para solihin,” titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Related Articles

Back to top button