Semasa

Kementerian Ekonomi lulus peruntukan bina empat Empangan Sabo baharu – Akmal Nasir

Empat lagi Empangan Sabo bakal dibina bagi mengurangkan risiko bencana kepala air atau aliran puing sekali gus mengancam nyawa dan keselamatan awam.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, empat empangan itu akan dibina masing-masing di Negeri Sembilan, Terengganu, Pahang dan Sabah dengan peruntukkan diluluskan Kementerian Ekonomi.

“Selain projek Sabo di Baling, Kedah yang telah diluluskan sebelum ini, tahun ini kita telah mendapat peruntukan daripada Kementerian Ekonomi untuk meneruskan empat lagi pembinaan Sabo.

“Projek ini dianggarkan membabitkan kos antara RM30 juta hingga RM144 juta dan akan dilaksanakan secara berperingkat di mana lebih kepada peringkat pra pelaksanaan ketika ini,” katanya.

Akmal berkata begitu kepada pemberita ketika meninjau Empangan Sabo di Titi Hayun di Yan, Kedah pada Selasa.

Sementara itu sebagai mengulas projek pembinaan dua Empangan Sabo di Titi Hayun di Daerah Yan dan Tupah di daerah Kuala Muda beliau berkata, fasa 1 projek tersebut yang melibatkan peruntukan RM22.8 juta telah siap sepenuhnya.

“Dalam pakej peruntukan itu membabitkan dua fasa termasuk pembinaan dua jambatan, maksudnya dalam fasa satu dua Empangan Sabo ini dibina dahulu dan apabila siap kita serahkan dulu kepada kerajaan negeri bagi membolehkan fungsi dan penyelenggaraannya boleh dirancang kerajaan negeri,” katanya.

BACA LAGI: KPKT utamakan projek PPR kepada negeri sediakan tapak pembangunan sesuai

Berdasarkan rekod, kejadian kepala air yang berlaku di Titi Hayun, Yan pada Ogos 2021 telah mengorbankan enam nyawa selain kerosakan harta benda.

Selain di Titi Hayun, kerajaan turut meluluskan pembinaan Empangan Sabo di Kampung Iboi, Baling susulan kejadian kepala air di Kampung Iboi yang menyebabkan tiga kematian pada Julai 2022.

Related Articles

Back to top button