Global

Pembunuhan Haniyeh, satu tindakan pengecut – Presiden Abbas

Ismail Haniyeh, yang terbunuh dalam serangan Israel di Iran, adalah ketua sayap politik Hamas dan bekas Perdana Menteri Palestin.

Hamas mengumumkan kematiannya pada Rabu, berkata dalam satu kenyataan: “Saudara, pemimpin, mujahid Ismail Haniyeh, ketua pergerakan, meninggal dunia dalam serangan Zionis di kediamannya di Tehran selepas dia menghadiri pacara angkat sumpah jawatan Presiden Iran baharu, Masoud Pezeshkian.”

Dianggap sebagai seorang yang pragmatis dalam Hamas dan terkenal dengan sikap tenangnya, Haniyeh dilahirkan pada tahun 1963 di kem pelarian Al-Shati di Gaza daripada sebuah keluarga yang terpaksa melarikan diri dari Ashkelon, beberapa kilometer (batu) di utara wilayah itu, semasa pembentukan Israel 15 tahun sebelum itu.

Pada masa mudanya, beliau adalah ahli persatuan pelajar Ikhwanul Muslimin di Universiti Islam Gaza, dan menyertai Hamas pada tahun 1987 apabila kumpulan itu ditubuhkan selepas tercetusnya intifada Palestin pertama, menentang pendudukan Israel, yang berlarutan sehingga tahun 1993.

Pada masa itu Haniyeh telah dipenjarakan oleh Israel beberapa kali dan kemudian diusir ke selatan Lubnan selama enam bulan.

Pada tahun 2003, Haniyeh dan pemimpin kerohanian Hamas Sheikh Ahmad Yassin terselamat daripada cubaan pembunuhan, dilaporkan muncul selamat dari sebuah rumah di mana pesawat Israel telah menjatuhkan bom. Yassin dibunuh setahun kemudian.

Haniyeh dipilih sebagai ketua biro politik Hamas pada 2017 untuk menggantikan Khaled Meshaal, tetapi sudah menjadi tokoh terkenal selepas menjadi Perdana Menteri Palestin pada 2006 berikutan kemenangan Hamas dalam pilihan raya parlimen tahun itu.

Haniyeh dikatakan mengekalkan hubungan baik dengan ketua pelbagai puak Palestin, termasuk saingan kepada Hamas.

Selepas kematian Haniyeh, Presiden Abbas mengutuk pembunuhan itu sebagai “tindakan pengecut “, dan menggesa rakyat Palestin untuk terus bersatu menentang Israel.

Baru-baru ini, Haniyeh hidup dalam buangan dan membahagikan masanya antara Turki dan Qatar.

Serangan Israel ke atas rumah keluarga Haniyeh di Al-Shati membunuh 10 orang pada Jun, termasuk kakaknya, kata pegawai pertahanan awam, manakala tiga anak lelakinya dan empat cucunya turut terbunuh dalam serangan Israel pada April.

Haniyeh ketika itu berkata, kira-kira 60 ahli keluarganya terbunuh sejak perang meletus.

Peperangan itu telah menyebabkan sebahagian besar Gaza hancur dan mencetuskan krisis kemanusiaan.

Haniyeh telah mengembara dalam beberapa misi diplomatik sejak pertempuran meletus.

Pada masa kematiannya, beliau berada di Tehran untuk menghadiri majlis angkat sumpah Presiden Masoud Pezeshkian pada Selasa. Semasa di sana, beliau bertemu dengan Pezeshkian serta pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamenei. – AFP

Related Articles

Back to top button