Teknologi

Rangka kerja komprehensif akreditasi kursus pendek bakal dibangunkan – MOSTI

Kerajaan MADANI bakal membangunkan rangka kerja komprehensif untuk mengakreditasi kursus jangka pendek berkaitan teknologi dan kelayakan mikro .

Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata inisiatif itu yang bakal dibangunkan Lembaga Teknologi Malaysia (MBOT) akan memudahkan pelbagai laluan ke arah pembangunan profesional dan pengiktirafan.

Tambahnya, inisiatif itu yang juga sebahagian daripada Dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Kebangsaan 2030 bertujuan memodenkan sistem pendidikan teknikal dan vokasional negara bagi mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja asing sekaligus memberikan lebih banyak pilihan kepada tenaga kerja untuk meningkatkan kemahiran mereka.

“Mandat MBOT di bawah aktanya secara unik meletakkannya untuk memastikan laluan alternatif ini memenuhi piawaian industri dan menerima pengiktirafan yang meluas.

“Dengan memupuk pelbagai disiplin dan bakat, saya percaya inisiatif ini akan meningkatkan pertumbuhan bakat dan daya saing,” katanya.

BACA LAGI: MOSTI, Cradle Fund terajui inisiatif Pemula Niaga ASEAN

Terdahulu, Ahli Parlimen Tanjung Malim itu menghadiri Majlis Perasmian MBOT Experts Network in Technology, Innovation, and Cooperative Event (ENTICE), di sini.

Pada majlis itu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah dianugerahkan Anugerah Kepimpinan Teknologi MBOT 2024.

Anugerah itu sebagai pengiktirafan kepada usaha Abang Johari merintis kemajuan teknologi di Sarawak termasuk merangkumi pembangunan loji hidrogen berskala besar.

Related Articles

Back to top button