Semasa

RM100 juta untuk fasiliti keselamatan sempadan Kelantan, Kedah dan Perlis- PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan RM100 juta untuk kerja-kerja penambahbaikan fasiliti keselamatan di sempadan Kelantan, Kedah dan Perlis.

Pada ucaptama di Majlis Sambutan Bulan Keselamatan Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Selasa beliau berkata, komitmen itu adalah usaha kerajaan menangani pelbagai isu dan jenayah di sempadan negara.

Langkah itu juga jelasnya seiring dengan keputusan Malaysia dan Thailand untuk merancakkan ekonomi di utara Semenanjung dan selatan Thailand.

“Negara yang kuat dan kukuh tentunya terhasil daripada perpaduan dan kekuatan ekonomi tetapi negara yang utuh dan selamat itu adalah juga dengan keselamatan negara terjamin.

“Untuk fasiliti ini, saya setuju luluskan peruntukan tambahan RM100 juta untuk sempadan Kedah, Kelantan, dan Perlis, katanya.

BACA LAGI: Kerajaan pertahan kedaulatan negara, tidak layan sebarang tuntutan termasuk di Sabah

Beliau turut memaklumkan, satu pertemuan bersama Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin dijadual berlangsung pada Sabtu ini di Sungai Golok membincangkan isu keselamatan sempadan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi di utara Semenanjung dan Selatan Thailand.

Pada perkembangan berkaitan, Anwar meminta laporan terkini perkembangan usaha menaik taraf kemudahan di sempadan Sarawak dan Sabah dibentangkan kepadanya dalam mesyuarat pada Khamis ini.

Ia susulan perpindahan ibu kota Indonesia dari Jakarta ke Nusantara, Kalimantan yang bersempadan dengan kedua-dua negeri berkenaan.

Related Articles

Back to top button