Sukan

Olimpik Paris 2024: PM Anwar ucap tahniah kepada beregu negara Pearly Tan-M Thinaah

Prestasi cemerlang skuad beregu negara Pearly Tan-M Thinaah yang melakar sejarah sebagai badminton wanita pertama negara mara ke separuh akhir Sukan Olimpik mendapat perhatian Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi catatan di laman Facebooknya mengucapkan tahniah kepada pasangan itu dan turut mendoakan kejayaan beregu ranking ke-12 dunia itu pada temasya Olimpik Paris 2024.

“Alhamdulillah, tahniah buat dua pejuang hebat cetus sejarah menjadi beregu wanita Malaysia pertama layak ke separuh akhir di Olimpik.

“Kekal tenang serta fokus dan semoga beroleh kejayaan!” katanya.

BACA LAGI: Keselamatan kontinjen negara diutamakan sepanjang kejohanan Olimpik Paris 2024

Terdahulu, pada aksi suku akhir di Porte de La Chapelle Arena, Pearly-Thinaah menewaskan Kim So Yeong-Kong Hee Yong dari Korea Selatan yang juga pasangan ranking ke-10 dunia dengan 21-12, 21-13.

Mereka dijadualkan menentang skuad beregu China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan di pusingan separuh akhir.

Untuk rekod pada Sukan Olimpik Rio 2016, beregu negara sekadar layak ke suku akhir apabila pasangan Vivian Hoo-Woon Khe Wei tewas kepada juara acara itu Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi.

Related Articles

Back to top button