PM Anwar bincang isu BRICS, Palestin dengan bekas Menteri Perhubungan Antarabangsa Afrika Selatan
Malaysia menzahirkan hasrat agar Afrika Selatan bersetuju menyokong penyertaan negara ini bagi menganggotai kumpulan BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran di Facebook berkata, perkara itu antara yang disentuh ketika menerima kunjungan hormat bekas Menteri Perhubungan Antarabangsa dan Kerjasama Republik Afrika Selatan Dr Naledi Mandisa Pandor di pejabat beliau pada Khamis.
BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun merangkumi Brazil, Rusia, India dan China.
Afrika Selatan menyertai blok itu pada 2010 sebelum disusuli oleh Mesir, Ethiopia, Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Perdana Menteri berkata, pertemuan itu turut menyentuh situasi terkini Palestin dan ketidakmampuan dunia untuk menghentikan penindasan yang dilakukan ke atas rakyatnya.
Anwar berkata, beliau juga menyuarakan pendirian tegas dan kutukan keras Malaysia terhadap pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh.
Pada akhir pertemuan itu, Dr Naledi menghadiahkan Anwar sebuah karya kenangan bekas Presiden Afrika Selatan Nelson Mandela yang mengandungi catatan dan ucapan beliau sewaktu memimpin republik itu.
Beliau berkata, buku itu terlaris di pasaran dan menyambung legasi karya Nelson Mandela sebelum ini iaitu Long Walk to Freedom.
“Di samping itu, saya juga menyentuh keperluan memperjuangkan isu-isu berkepentingan negara-negara membangun Selatan Global dan kerjasama yang harus dimainkan,” katanya.
Dr Naledi kini dalam siri lawatan ke Malaysia bagi menghadiri Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia ke-7 anjuran Universiti Sultan Azlan Shah di Perak.