ekonomi

Ringgit terus mengukuh, dipacu pertumbuhan ekonomi dan inisiatif kerajaan – Amir Hamzah

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyatakan keyakinan matawang ringgit akan terus mengukuh dipacu pertumbuhan ekonomi dan inisiatif kerajaan.

Ditemui pemberita pada Khamis beliau berkata, pembaharuan fiskal kerajaan, usaha membendung inflasi dan pelaburan peringkat tinggi yang diluluskan serta dasar untuk menstabilkan dan membangunkan negara juga akan menyokong ekonomi dan ringgit.

Ringgit katanya juga akan dipengaruhi oleh pergerakan kadar faedah Amerika Syarikat (AS).

“Kita percaya unjuran pertumbuhan ekonomi empat hingga lima peratus pada 2024 boleh dicapai dan mungkin boleh meningkat lebih tinggi,” jelasnya di persidangan bersama Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun ke-41 (MAJECA)- Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia (JAMECA) di Kuala Lumpur.

Ringgit meneruskan lonjakan ketaranya pada Khamis apabila ditutup pada 4.5675, paras tertinggi dalam setahun selepas mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) selama sembilan hari berturut-turut.

Pada 6 petang, ringgit melonjak 210 mata asas kepada 4.5675/5710 berbanding dolar AS daripada 4.5885/5925 pada akhir urus niaga Rabu.

Sementara itu Amir Hamzah dalam ucapannya di persidangan semalam berkata, Malaysia menghargai peranan strategik yang dimainkan Jepun pada peringkat awal pengindustrian di Malaysia dengan pelaburan berskala besar dan aliran masuk teknologi.

“Pada masa ini, terdapat lebih 1,500 syarikat Jepun di Malaysia melabur dalam pelbagai sektor perindustrian dan perniagaan. Ini merupakan satu pengiktirafan bahawa Malaysia adalah destinasi pelaburan yang terbaik.

BACA INI: Malaysia mampu kembali jadi ‘Harimau Asia’ jika capai status negara berpendapatan tinggi

“Memandangkan kedua-dua negara kita adalah sebahagian daripada rantau Asia Timur yang luas, kita sentiasa menghargai dan mengalu-alukan pelaburan, teknologi dan perkongsian daripada syarikat Jepun.

“Dengan Malaysia akan menggalas jawatan pengerusi ASEAN pada 2025, ini akan membuka lebih banyak kemungkinan bagi penglibatan ekonomi bersama di ASEAN,” katanya.

Related Articles

Back to top button