Global

PM Anwar akan adakan lawatan kerja ke Rusia, penuhi undangan Presiden Putin

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin di Vladivostok, Rusia dalam tempoh beberapa minggu akan datang

Menurut Anwar, pertemuan itu bertujuan membincangkan kerjasama ekonomi bersama negara berkenaan di samping mengekalkan hubungan baik di antara kedua-dua negara.

“Beberapa minggu lagi saya akan ke Vladivostok, di pinggir Russia untuk menerima undangan Presiden Putin bagi berbincang soal kerjasama ekonomi.

“(Ini) meletakkan kita sebagai antara negara yang pertahankan pendirian kita yang bebas, dan tidak mengambil sikap untuk bermusuh dengan sesiapa.

“Prinsip kita adalah jelas, tetap pertahankan kebebasan, tolak kezaliman, tidak mengizinkan mana-mana negara kelompok menindas, menghina dan membunuh rakyat kita yang tidak berdosa,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam ucapan di majlis perasmian ibu pejabat GXBank & pelancaran pusat kecemerlangan di Kuala Lumpur pada Jumaat yang turut dihadiri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Beliau sementara itu menegaskan, kerajaan mengambil pendekatan lebih terbuka dalam ekonomi dengan mengamalkan dasar terbuka dengan semua negara.

BACA LAGI: PM Anwar seru perjuang kebangkitan Selatan Global, bentuk masa depan kolektif

“Apa saja yang boleh selamatkan bangsa dan negara, memacu pertumbuhan dengan segar, apa saja kerangka yang memungkinkan kita berdagang dengan semua negara, dan pertahankan keamanan dan kepentingan ekonomi negara, kita akan terbuka.

“Kita mengambil sikap cukup terbuka untuk bersahabat dengan semua, berdagang dengan semua asalkan kita kekal sebagai negara yang bebas merdeka dan berdaulat,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button