Negeri

RS-1 dirangka bagi pastikan negeri Selangor terus stabil – Menteri Besar

Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang dirangka kerajaan negeri bertujuan menyediakan negeri dari pelbagai perubahan dunia yang bergerak pantas.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dipetik laporan berkata, RS-1 dirancang susulan penularan pandemik Covid-19 selain perubahan iklim yang berlaku hingga menyebabkan banjir besar di Selangor pada 2021.

“RS-1 merupakan tindak balas apa kita fikir selepas berdepan pelbagai situasi termasuk Covid-19 yang menjadi permulaan besar. Kalau kita kekal tanpa berubah, kita tak mampu beradaptasi, tak bersaing.

“Sebab itu kita susun semula kerangka kemajuan ekonomi. Susun projek secara menyeluruh. Ini juga disebabkan ketidaktentuan politik. Menteri, perdana menteri bertukar ganti. Jadi kita mahu Selangor stabil jadi ilhamkan RS-1,” katanya.

Amirudin sebelumnya hadir sebagai tetamu pada sesi bual bicara bertajuk Ekonomi Madani: Pengalaman Selangor Untuk Malaysia di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) di Kuala Lumpur pada Jumaat,

RS-1 merupakan pelan strategik, panduan hala tuju dan pembangunan dasar negeri Selangor bagi tempoh lima tahun sehingga 2025.

Perancangan lima tahun itu akan memberi fokus khusus terhadap pertumbuhan ekonomi, memberdaya rakyat melalui program kebajikan, pembangunan lestari, selain sistem dan perkhidmatan kerajaan yang cekap, telus serta efisien.

Sementara itu Amirudin berkata Selangor perlu pesat membangun dalam semua sektor terutama ekonomi memandangkan lebih suku Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disumbang negeri ini dengan 25.9 peratus direkodkan tahun lalu.

“Kita nak jadikan negeri makmur sebab nak sumbang ekonomi lebih banyak. Kalau Selangor patah, negara akan lumpuh,” katanya.

BACA LAGI: Selangor tumpu sektor perkhidmatan untuk tempoh lima tahun akan datang

Rabu lalu, pakar ekonomi Bank Dunia di Malaysia Dr Apurva Sanghi menerusi laman X memaklumkan Selangor muncul negeri baharu berpendapatan tinggi berdasarkan Laporan Bank Dunia.

Negeri ini mencapai pendapatan negara kasar (GNI) USD14,291 (RM67,374), melepasi paras GNI per kapita peringkat negeri iaitu USD14,005 (RM66,026).

Related Articles

Back to top button