Sukma 2024: Atlet Selangor raih emas bakal terima insentif RM10,000 – Menteri Besar
Kerajaan negeri Selangor menawarkan insentif kemenangan RM10,000 untuk atlet negeri itu yang berjaya memenangi pingat emas dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak.
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, bagi acara berpasukan yang mempunyai lima orang ke bawah seperti badminton, sepak takraw, tenis dan squash, masing-masing akan menerima RM5,000 untuk satu pingat emas.
Manakala untuk acara berpasukan yang lebih besar seperti ragbi, bola sepak dan hoki, pemain akan menerima ganjaran RM3,000 setiap seorang.
“Ganjaran sebegini sudah ditetapkan sejak 2015 dan mengambil kira perubahan masa, kita ingin pertingkatkan atau menyemak semula ganjaran kepada atlet selepas tempoh yang agak lama.
“Saya harap dengan pengumuman ganjaran yang kita akan berikan ini dapat memberi semangat tambahan untuk diterjemahkan kepada pencapaian atlet dan kontinjen negeri pada SUKMA kali ini,” katanya pada majlis penyerahan bendera kepada kontinjen Selangor ke Sukma 2024 di Shah Alam pada Sabtu.
BACA LAGI: Persekutuan salur RM50 juta kepada Sarawak untuk penganjuran SUKMA, Para SUKMA
Sukma 2024 menampilkan 37 sukan membabitkan 488 acara dan akan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos ini.
Pada kejohanan kali ini, Selangor meletakan sasaran 61 pingat emas.