Negeri

Amirudin jamin peniaga Bazarena berlesen dapat tapak perniagaan selepas KSSA siap

Kerajaan Negeri Selangor menjamin semua peniaga berlesen di Pasar Tani dan Pasar Karat di Bazarena Stadium Shah Alam, Seksyen 13 sedia ada akan diberi tempat meneruskan perniagaan selepas Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) siap dibina pada 2026.

Bagi tujuan itu, kawasan untuk mereka menjalankan perniagaan sudah ditetapkan di dalam pelan pembangunan KSSA , kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

“Itu memang telah disiapkan..dalam pelan (pembinaan KSSA) memang ada kawasan untuk mereka (peniaga) berniaga.

“Kita jamin hampir semua (peniaga kekal berniaga di situ). Kita akan letakkan balik (peniaga) termasuk di ruangan yang telah ditetapkan.

“Insya-Allah, saya sudah jaminkan itu. Saya akan pastikan kesemua peniaga dapat meniaga, (tetapi) yang berlesenlah (dapat tempat)…bukan yang masuk secara tidak sah,” katanya dipetik laporan media.

Amirudin sebelumnya mengulas rintihan dan kebimbangan segelintir peniaga yang mendakwa sebahagian sahaja mendapat tempat berniaga di situ, selepas KSSA siap dibina.

Difahamkan, peniaga pasar tani dan pasar karat memulakan perniagaan mereka di kawasan berkenaan sejak 1999 dengan pelbagai jenis perniagaan dijalankan termasuk jualan barangan basah seperti sayur, lauk pauk, buah-buahan, makanan asas, makanan siap masak, pakaian dan pelbagai lagi.

Pasar Tani Stadium Shah Alam yang juga dijadikan tapak bazar Ramadan setiap tahun adalah antara lokasi pasar umum yang cukup dikenali bukan sahaja bagi penduduk kawasan sekitar malah seluruh negara.

BACA LAGI: Kompleks Sukan Shah Alam sedia digunakan untuk Sukma 2026

Sementara itu menurut Amirudin pihaknya merancang agar waktu perniagaan di pasar tersebut selepas ini tidak semestinya pada Ahad sahaja.

“Kita boleh buat Sabtu dan Ahad, itu ikut kesesuaian dengan tapak kawasan yang kita ada,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button