ekonomi

Pelaksanaan reformasi ekonomi oleh kerajaan sumbang pengukuhan ringgit – PM Anwar

Tindakan kerajaan melaksanakan reformasi ekonomi serta dasar penyasaran subsidi telah meningkatkan keyakinan pelabur, yang seterusnya menyumbang kepada pengukuhan ringgit.

Sejak 11 hari lalu, ringgit mencatatkan rali peningkatan terpanjang dalam tempoh 14 tahun, menunjukkan kestabilan dan keyakinan dalam ekonomi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa kekuatan ekonomi domestik dan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan, terutamanya oleh Kementerian Kewangan dan agensi-agensinya, telah membantu mengukuhkan kedudukan ringgit.

“Meskipun keadaan geopolitik dunia agak membimbangkan, situasi ekonomi dan ringgit di Malaysia tetap berada dalam kedudukan yang sangat meyakinkan.

“Keadaan ini membanggakan dan menjadi tonggak kekuatan ekonomi domestik kita,” katanya dalam ucapan di Majlis Perhimpunan Bulanan bersama Warga Kementerian Kewangan pada Selasa.

Pada hari ini, ringgit dibuka kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), disokong oleh prospek penurunan kadar faedah AS.

Ringgit meningkat kepada 4.4200/4300 berbanding dolar AS daripada 4.4240/4305 pada Isnin, menunjukkan peningkatan sebanyak 4.1 peratus berbanding dolar AS sepanjang tahun ini.

Anwar turut menegaskan kesediaan kerajaan untuk melaksanakan reformasi ekonomi dan menghentikan ketirisan serta memerangi rasuah sebagai faktor utama yang meningkatkan keyakinan pelabur.

“Penyelarasan subsidi yang dilaksanakan, walaupun kurang popular, adalah langkah penting dalam menghentikan kebocoran dan penyeludupan.

“Penyasaran subsidi ini menyebabkan saya dimaki, tetapi ia adalah langkah yang perlu diambil untuk menghentikan ketirisan dan memastikan ekonomi negara berada dalam keadaan yang baik. Pelabur tahu bahawa ini adalah kerajaan yang bertanggungjawab,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga menekankan bahawa kerajaan perlu lebih proaktif dalam mendidik rakyat mengenai ekonomi dan kepentingan penyasaran subsidi.

Related Articles

Back to top button