Semasa

Potensi besar industri REE tempatan perlu dimanfaat sepenuhnya – PM Anwar

Malaysia perlu memanfaatkan sepenuhnya potensi besar industri nadir bumi (REE) terutamanya daripada sumber tempatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui satu hantaran Facebook berkata, kerjasama dengan pemain-pemain antarabangsa yang memiliki kepakaran perlu didasarkan kepada matlamat akhir membangunkan keseluruhan rantaian industri dalam negara.

“Aktiviti penguatkuasaan juga perlu diperkemas bagi mengelak sumber negara dieksploitasi, yang akan mengurangkan hasil kepada kerajaan dan merencat pembangunan industri REE negara,” jelasnya.

Kenyataan itu menyusul Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 6 Tahun 2024 yang dipengerusikannya pada Isnin.

Sementara itu melalui hantaran sama perdana menteri memaklumkan, mesyuarat juga meneliti cadangan rangka kerja termasuk anjakan besar bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk menjalankan perniagaan selaras kedudukan semasa negara dalam indeks daya saing global.

“Kerajaan yakin usaha-usaha ini akan terus meningkatkan keyakinan pelabur dan seterusnya memperkukuh asas ekonomi negara,” kata Anwar.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim pada September lalu memaklumkan Malaysia memiliki sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) dianggarkan berjumlah 15.2 juta tan dengan nilai pasaran semasa boleh mencecah sehingga RM747.2 bilion (AS$182 bilion).

Anggaran nilai sumber NR-REE yang tinggi dimiliki negara ini membolehkan negara berpotensi membuat pelaburan dalam industri berkenaan, sekali gus memberi pulangan berlipat ganda kepada ekonomi negara dengan membangunkan industri terbabit secara menyeluruh merangkumi pembangunan NR-REE pada peringkat huluan, pertengahan dan hiliran.

BACA LAGI: NRES cadang pinda Akta Pembangunan Mineral, penuhi keperluan sektor REE

Bagaimanapun kerajaan berpegang dengan prinsip pembangunan industri tersebut akan dilaksanakan secara bertanggungjawab tanpa memberi impak negatif kepada alam sekitar, hidupan liar, tumbuh-tumbuhan dan orang awam.

Related Articles

Back to top button