Speaker Dewan Rakyat panggil KSU, bincang penambahbaikan kepada akta ketinggalan zaman
Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul telah memanggil setiap Ketua Setiausaha (KSU) dan penasihat undang-undang semua kementerian bagi menilai semula akta sedia ada yang mungkin tidak lagi sesuai pada masa ini.
Bercakap pada sidang media selepas lawatan kerja ke DUN Perak pada Isnin beliau berkata, langkah diusahakan itu bertujuan untuk berbincang agar undang-undang yang tidak lagi releven dapat di tambah baik supaya sesuai dan seiring dengan peredaran masa.
“Ini kali pertama Speaker panggil semua KSU, Alhamdulillah respons cukup baik.
“Kita akan ada sekurang-kurangnya dua hingga tiga perjumpaan setahun,” jelasnya.
Johari sebelumnya ditanyakan, sama ada kajian terhadap akta lama dijalankan pada peringkat Parlimen.
BACA LAGI: Keputusan Johari gambarkan kematangan Speaker tafsir undang-undang
Mengulas lanjut beliau memaklumkan, pihaknya tidak meletakkan sebarang garis masa untuk sebarang cadangan daripada KSU kerana usaha yang dilaksana itu merupakan proses berterusan.
“Pada peringkat Parlimen kita akan membantu dalam hal berkenaan.
“Saya ingat kita akan ada pertemuan kedua mungkin pada masa Bajet (2025) ini, ia akan berikan ruang kepada KSU berhubung terus dengan pejabat saya melalui Setiausaha Dewan, tambahnya.