Usul tergempar kutuk pembunuhan Ismail Haniyeh diluluskan di DUN Negeri Sembilan
Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada Isnin sebulat suara meluluskan usul tergempar mengutuk keras pembunuhan kejam Ketua Biro Politik Hamas dan bekas Perdana Menteri Palestin, Allahyarham Ismail Abdel Salam Ahmad Haniyeh, 31 Julai lalu.
Usul tersebut yang dibentangkan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun menggariskan 13 resolusi termasuk mengecam kerajaan pimpinan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu yang bertanggungjawab atas serangan ke atas Ismail Haniyeh.
“Kejadian itu membuktikan bahawa Rejim Zionis Israel sememangnya sentiasa merancang secara agresif dengan menyasarkan pemimpin Hamas seperti mana berlaku kepada Sheikh Ahmad Yasin dan Dr Abdel Aziz Ar-Rantisi yang menjadi sasaran pembunuhan kejam pada 2004.
“Pembunuhan Ismail Haniyeh itu mencabuli Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Rakyat Malaysia berpegang teguh kepada pendirian, iaitu tiada alasan yang boleh diberikan bagi membunuh mana-mana pemimpin Hamas yang dilihat sentiasa berusaha untuk menuju kepada proses pendamaian bagi memastikan rakyat Palestin mendapat kembali hak di tanah air mereka,” katanya pada Persidangan Kedua Penggal Kedua Dun Negeri Sembilan yang ke-15 di Seremban.
BACA LAGI: Negeri Sembilan fokus perkasa sektor pertanian, beri LPS untuk golongan petani
Aminuddin sementara itu memaklumkan, rakyat Negeri Sembilan terus memberi sokongan padu kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah pembentukan negara yang bebas, merdeka dan berdaulat.
Terdahulu usul dibawakan Aminuddin itu disokong Adun Pertang Datuk Seri Jalaluddin Alias yang menegaskan dalam isu Palestin, semua pihak perlu mengenepikan sebarang perbezaan politik.
“Tindakan zalim, kejam dan ganas oleh Israel ke atas rakyat Palestin selama ini tidak boleh dimaafkan sama sekali,” katanya.