Semasa

Kurang kos sara hidup jadi tumpuan pada Belanjawan 2025 – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Belanjawan 2025 akan memberi tumpuan kepada aspek menangani dan mengurangkan kos sara hidup.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan menyedari isu kos sara hidup menjadi kebimbangan di kalangan rakyat dan menjadi tanggungjawab pentadbiranya untuk memberikan keselesaan kepada rakyat yang terkesan.

“Walaupun saya boleh sebut gula, minyak, tepung, minyak masak kita adalah paling murah…tapi bagi rakyat Malaysia, masih merasa beban.

“Sebab itu saya katakan kita dalam Belanjawan ini, selain isu yang kita bincangkan, kita usahakan juga masalah kartel, monopoli dan punca kenapa harga barang naik, semua ini harus kita tangani,” katanya melalui ucapan pada majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan (MoF) di Putrajaya pada Selasa.

Belanjawan 2025 dijadualkan akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 18 Oktober ini.

Sebelum ini perdana menteri telah mengarahkan semua kementerian mengadakan sesi dialog bagi mendapatkan input bagi merangka Belanjawan kali ini.

Sementara itu Anwar melalui ucapanya berkata, peningkatan kos sara hidup antara lain disebabkan oleh masalah ketirisan, rasuah, seludup dan kartel.

BACA LAGI: Kerajaan MADANI akan perkukuh dasar pelepasan bankrap

Justeru MoF menerusi usaha rentas kementerian, harus memikirkan dan mencari kaedah serta jalan bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Pengalaman Saudara (MoF) sama ada dalam penguatkuasaan atau perancang dasar akan lebih faham, tidak mungkin kita tidak fikir kaedah dan jalan untuk mengurangkan kos.

“Kos ini meningkat di antara lain (disebabkan) ketirisan, rasuah, seludup dan keuntungan berlebihan melalui kartel,” katanya.

Related Articles

Back to top button