Nasional

Institusi fatwa negara perlu dinaik taraf – Menteri Agama

Institusi fatwa dalam negara perlu dinaik taraf dan diperkasakan sejajar dengan konteks semasa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar.

Beliau menekankan bahwa fatwa perlulah berjalan seiring dengan peredaran masa melalui proses kajian yang komprehensif untuk mengekalkan keberkesanannya.

“Fatwa berperanan penting dalam menghadapi pelbagai cabaran sama ada dalam bidang akidah, ibadah, kemasyarakatan, kepenggunaan, kesihatan dan lain-lain.

“Dalam konteks Malaysia yang memiliki pelbagai etnik dan budaya, fatwa membantu menyelaraskan prinsip-prinsip yang berasaskan hukum Islam,” katanya Persidangan Fatwa Antarabangsa di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau turut memberikan beberapa cadangan untuk menaik taraf institusi fatwa dalam negara untuk kekal relevan dalam konteks negara pada masa kini.

Menurutnya, antara cadangan yang diketengahkan termasuk kredibiliti dan autoriti institusi fatwa perlu diperkukuhkan daripada segi keilmuan dan metodologi, serta institusi fatwa harus mengamalkan ketelusan dalam proses pengeluaran fatwa.

Ini termasuklah melibatkan dialog dengan pakar-pakar bidang yang relevan dan masyarakat umum.

Selain itu katanya, cadangan lain termasuk institusi fatwa boleh memanfaatkan platform digital untuk menyampaikan fatwa dengan lebih berkesan dan cepat kepada umat Islam di seluruh dunia.

Tambah Mohd Naim lagi, kolaborasi antara institusi fatwa dari pelbagai negara dan pemikiran Islam turut perlu diperkukuhkan.

Related Articles

Back to top button