Negeri

Kerajaan Kelantan digesa jawab isu 54 kelulusan penerokaan hutan

Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan PAS digesa menjelaskan isu 54 kelulusan penerokaan hutan membabitkan keluasan lebih 13,000 hektar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri

Timbalan Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Barisan Nasional (BN), Mohd Syahbuddin Hashim dipetik laporan media berkata, berdasarkan rekod kemasukan permohonan kelulusan Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA), pihaknya mengesan 54 kelulusan baharu penerokaan hutan atas pelbagai maksud seperti ladang hutan, pengkayaan hutan dan lombong di kawasan Gua Musang yang kebanyakan dilakukan di kawasan Ulu Nenggiri.

Tambahnya, kelulusan itu diberikan kerajaan negeri sejak 2022 sehingga kini dengan kebanyakan penerokaan ini membabitkan kawasan hutan Ulu Nenggiri, Mukim Bertam.

“Di saat PAS Kelantan atau kerajaan negeri mencanangkan kepada rakyat bahawa mereka adalah sebuah kerajaan yang telus dan adil, rakyat di bawah, terutama di Nenggiri masih bergelut sekian lama untuk mendapatkan geran milik tanah.

“Sudah 34 tahun rakyat di Nenggiri terpaksa menanggung kemusnahan alam sekitar, terutama Orang Asli namun hasilnya diperoleh kerajaan negeri dan penerima pajakan atau projek tanpa ada pulangan yang wajar kepada rakyat Nenggiri,” katanya melalui satu sidang media di Pusat Khidmat Rakyat Bukit Cekati, di Gua Musang pada Selasa.

BACA LAGI: NRES seru kerajaan negeri pinda enakmen berkaitan penyahwartaan hutan

Sementara itu beliau menegaskan pemimpin PAS Kelantan tidak perlu menjaja cerita mengenai pembangunan di daerah tersebut kerana kali pengumuman bajet oleh kerajaan negeri Kelantan, Gua Musang sering ditinggalkan dalam kebajikan,

“Pemimpin PAS tidak perlu bercerita mengenai pembangunan di Gua Musang, Kerajaan Persekutuan melalui KESEDAR sudah melakukan yang terbaik bagi tujuan itu,” tegasnya.

Related Articles

Back to top button