Kerajaan MADANI salur RM1 Juta untuk program pemerkasaan usahawan veteran tentera
Kerajaan MADANI terus berusaha memperkasa veteran tentera melalui pelbagai inisiatif termasuk Program Pemerkasaan Usahawan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PUVET ATM).
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, Sebanyak RM1 juta telah diperuntukkan bagi tahun ini untuk membantu 200 usahawan veteran tentera di bawah program berkenaan.
Tambahnya, setakat ini seramai 96 usahawan veteran ATM telah dibantu dengan setiap penerima menerima bantuan wang tunai RM5,000 bagi mengembangkan perniagaan mereka.
“Kebanyakan penerima tinggal di selatan tanah air dan bagi mencapai sasaran 200 usahawan veteran, selepas ini kita akan menjelajah ke negeri-negeri di Pantai Timur.
“Lebih 50 peratus usahawan veteran ini menceburi bidang pembuatan makanan terutamanya sejuk beku yang berpotensi tinggi untuk dipasarkan selepas mereka tamat perkhidmatan,“ katanya.
Adly sebelumnya hadir merasmikan Program PUVET ATM peringkat Melaka di Alor Gajah pada Khamis.
Pada majlis berkenaan, sebanyak 44 usahawan veteran menerima bantuan itu membabitkan peruntukan RM220,000.
BACA LAGI: Veteran ATM disaran kemaskini VIBES 2.0, elak tertinggal terima bantuan kerajaan
Sementara itu Adly memberitahu, Kementerian Pertahanan bersama Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) turut bekerjasama dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makana serta Kementerian Ekonomi bagi membantu golongan berkenaan mengembangkan perniagaan mereka.
Usaha termasuk dengan mendedahkan usahawan veteran itu dengan teknologi digital bagi membantu mereka memasarkan perkhidmatan dan barangan secara dalam talian.