Negeri

Semarakkan Bulan Kebangsaan, kibarkan jalur gemilang – MB Negeri Sembilan

Rakyat di Negeri Sembilan diminta untuk terus mengibarkan Jalur Gemilang sama ada di rumah, kenderaan atau premis masing-masing bagi menyemarakkan Bulan Kebangsaan.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pengibaran bendera kebanggaan negara itu perlu dilihat sebagai cerminan jati diri selain menghargai pengorbanan pejuang terdahulu bagi mendapatkan kemerdekaan.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu ada rasa tanggungjawab mengibarkan Jalur Gemilang tanpa diarahkan atau dipaksa mana-mana pihak. Kibar bendera ini sebenarnya boleh dilakukan pada bila-bila masa tanpa tunggu Bulan Kebangsaan, tapi bila dah masuk Ogos, pastinya ia perlu diperhebatkan.

“Selain itu, inisiatif Satu Rumah Satu Jalur Gemilang harus dijayakan sebagai taat setia kepada negara selari dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Semangat ini harus digelorakan menuju sambutan peringkat negeri di Dataran Majlis Bandaraya Seremban, 31 Ogos nanti,” katanya dipetik Bernama.

Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini ialah Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka

Kerajaan Negeri jelasnya turut merancang beberapa pengisian sepanjang Bulan Kebangsaan termasuk Info On Wheels Merdeka (IOW Merdeka) yang diterajui Jabatan Penerangan negeri, JIWA Komuniti MADANI, Konvoi Kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang.

“Saya berharap orang ramai mengambil bahagian dalam program dianjurkan. Tunjukkan sokongan kita dengan menyertai program kenegaraan yang dianjurkan di seluruh negeri ini,“ katanya.

BACA LAGI: Semarak semangat Bulan Kebangsaan, Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang dilancarkan

Mengulas lanjut Aminudin berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) juga diminta untuk terus memantau mana-mana Jalur Gemilang didapati lusuh dan koyak dikibarkan di tempat tinggi dan segera menggantikannya dengan yang baharu.

Beliau turut menggantikan Jalur Gemilang lusuh, koyak dan tidak sempurna kepada yang baharu selain meletakkannya di tempat sepatutnya kerana ia gambaran sebagai warganegara bertanggungjawab.

Related Articles

Back to top button