Kerajaan pertimbang pinda undang-undang, elak tanah manfaat awam diambil swasta
Kerajaan sedang mempertimbang pindaan kepada undang-undang bagi mengelak tanah yang digunakan untuk manfaat awam diambil secara mudah pihak lain khususnya syarikat swasta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merujuk keputusan Mahkamah Tinggi memerintahkan kerajaan memindah milik tanah seluas 106.542 hektar di Mukim Batu di sini kepada Semantan Estate Sdn Bhd (SESB) berkata, kerajaan bimbang perkara seperti itu jika dibiarkan akan implikasi yang sangat serius kepada negara.
“Hakim mungkin tertakluk kepada undang-undang yang ada. Saya akan cadangkan kepada Jemaah Menteri untuk melihat semula undang-undang ini.
“Ini kerana kalau prinsip ini digunakan, bagaimana tentang tanah-tanah rakyat yang dulu diambil sejak atau sebelum merdeka untuk tujuan kerajaan, kemudian diambil alih oleh sektor swasta atau sektor swasta yang beli tanah pertanian, kemudian minggu berikut tukar kepada tanah industri. Orang yang jual harga sangat rendah dan (pembeli) dapat sangat tinggi.
“Kalau semua guna kaedah prinsip yang ada sekarang (seperti) yang diputuskan mahkamah akan huru-hara negara. Itu sebab kita harus teliti semula,” katanya.
Anwar sebelumnya hadir ke Majlis Peluncuran Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan di Kuala Lumpur pada Jumaat.
BACA LAGI: Rakyat Nenggiri merana jika wakil rakyat dipilih tak komited perjuang isu hutan – KUASA
Pada 2003, Semantan Estate memfailkan saman terhadap kerajaan atas dakwaan pencerobohan yang berpunca daripada pengambilan tanah secara tidak sah daripada syarikat itu.
Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman, Zura Yahya memutuskan bahawa Semantan Estate mengekalkan kepentingan benefisialnya terhadap tanah seluas 263.27 ekar itu yang diambil alih oleh kerajaan secara tidak sah serta melakukan pencerobohan ke atas tanah terbabit.
Semantan Estate pada 2017 memfailkan saman pemula terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan untuk menguatkuasakan penghakiman Mahkamah Tinggi pada 2009.
Sementara itu menurut Anwar Jemaah Menteri akan meneliti lanjut isu pindah milik tanah ini minggu depan, khususnya dalam melihat keadilan yang wajar kepada semua pihak, memandangkan tanah-tanah ini turut menempatkan ratusan ribu orang.