Semasa

Bukan Islam di Malaysia tidak boleh dilabel kafir harbi – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengeluarkan kenyataan tegas dengan menyifatkan tindakan sewenangnya mengelar ‘kafir harbi’ sebagai tindakan ekstrem.

Menerusi Irsyad Hukum Siri Ke-864: Isu Berkaitan Pengkategorian Kafir Harbi di siarkan laman web rasminya pada Ahad, pejabat itu menegaskan gelaran itu tidak boleh ditujukan kepada mana-mana warga negara bukan Islam di sesebuah negara yang menghormati perlembagaan dan mematuhi undang-undangnya kerana ia tidak menepati definisi dan tidak mencukupi ciri ditetapkan ulama.

Tindakan melabelkan seseorang warga negara dengan gelaran itu hanya akan membawa implikasi buruk dan dahsyat kerana mereka halal untuk diperangi, keamanan mereka tidak akan dijaga dan keselamatan harta benda mereka tidak akan dijamin.

“Dalam konteks di Malaysia, setiap warga negara daripada kalangan bukan Islam, maka mereka jauh sekali untuk dimasukkan dalam kategori golongan kafir harbi.

“Oleh yang demikian, perbuatan melabelkan sebahagian daripada warganegara sesebuah negara dengan label sebegitu adalah satu perbuatan yang ekstrem dan keterlaluan.

“Adapun jika ingin melihat konteks kafir harbi pada zaman sekarang, maka istilah itu boleh dirujuk kepada kumpulan Zionis dan Israel yang memusuhi dan memerangi umat Islam serta mengusirkan mereka daripada tempat kediaman dan tanah air mereka,” kata pejabat itu.

BACA LAGI: Tolak pemikiran ‘ghuluw’, lempar tuduhan’kafir harbi’ sewenangnya – Dr Zulkifli

Terdahulu, tular rakaman video mengenai tuduhan DAP ‘kafir harbi di Malaysia’ yang dilemparkan seorang individu pada satu ceramah PAS dan Perikatan Nasional (PN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri.

Susulan itu tiga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali, Syahredzan Johan dan Young Syefura Othman menuntut individu yang mengeluarkan kenyataan parti itu memohon maaf.

Mereka turut menuntut kepimpinan PAS dan PN menyatakan pendirian sama ada mereka bersetuju dengan kenyataan melampau dikeluarkan individu berkenaan.

Related Articles

Back to top button