‘Azizulhasni selamanya permata negara’ – PM Anwar
Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang tetap akan dikenang sebagai wira yang banyak berkorban demi mengharumkan nama negara di persada dunia.
Walaupun disingkirkan awal ekoran isu teknikal pada saringan pertama acara keirin lelaki di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines di Paris pada Jumaat, rakyat Malaysia terus tetap berdiri di belakang pelumba yang lebih dikenali dengan gelaran ‘The Pocket Rocket Man’ itu
Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menawar kedukaan Azizulhasmi dengan menzahirkan penghargaan kepadanya.
“Kamu tetap dan selamanya permata negara, terima kasih,” kata Perdana Menteri menerusi hantaran dimuat naik dalam ruangan Facebook Story yang berlatarbelakangkan gambar The Pocket Rocketman itu.
Penyertaan pelumba berusia 36 tahun itu dibatalkan semasa saringan satu pusingan pertama selepas didapati memotong derny (basikal elektrik bertindak sebagai pacer) sebelum derny meninggalkan trek, sekali gus perlumbaan dimulakan semula tanpa penyertaan Azizulhasni.
Azizulhasni melalui satu hantaran di Instagram kemudian menjelaskan, dia dihalang dan dihimpit secara agresif pelumba Perancis telah menyebabkannya bergerak ke hadapan untuk mengelak.
Malah pacer bergerak lebih perlahan berbanding speed sebenarnya dan tidak memecut keluar selepas selekoh empat seperti kebiasaan.
Susulan insiden itu jurulatih dan pengurus pasukan berjumpa dengan pihak panel komisar sejurus kejadian bagi menjelaskan keadaan dan memohon untuk mereka review kembali video perlumbaan dan keputusan.
Namun komisar tetap memilih untuk kekal dengan keputusan yang sama, jelasnya.
BACA LAGI: PM Anwar ucap tahniah kepada beregu negara Pearly Tan-M Thinaah
Sepanjang kariernya, jaguh negara itu menerima pelbagai pencapaian terbaik antaranya pingat emas kategori keirin di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan gangsa semasa Sukan Olimpik Rio 2016.
Beliau antara pelumba basikal trek terbaik di dunia dengan rekod pencapaian yang cemerlang di peringkat antarabangsa.