Global

Rundingan damai Palestin: Malaysia sambut baik kenyataan pemimpin 3 negara

Malaysia mengalu-alukan kenyataan bersama oleh pemimpin tiga negara yang menggariskan keperluan segera memuktamadkan perjanjian gencatan senjata dan membawa bantuan segera kepada penduduk Gaza.

Kementerian Luar menerusi kenyataan semalam menegaskan, secara prinsipnya Malaysia sentiasa memperjuangkan keamanan, kestabilan serta pematuhan kepada undang-undang antarabangsa.

“Dalam konteks ini, Malaysia menyokong rundingan damai yang sedang dijalankan oleh Amerika Syarikat (AS), Mesir dan Qatar

“Malaysia berharap perbincangan yang bakal diadakan pada 15 Ogos depan akan membuahkan hasil positif, menghalang konflik yang semakin meruncing dan mencapai penyelesaian secara aman,” katanya.

Sementara itu Malaysia menuntut semua pihak untuk terus fokus, komited dan menghormati proses keamanan.

Menurutnya, Malaysia sekali lagi menuntut agar pembunuhan dan kekejaman dihentikan, gencatan senjata segera dan kekal dilaksanakan, bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan ke Gaza serta Palestin diterima sebagai ahli penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

BACA LAGI: Kedutaan Palestin puji ucapan Steven Sim di Himpunan Pembebasan Palestin

“Sokongan teguh dan solidariti Malaysia dengan rakyat Palestin tidak berbelah bahagi.

“Ini termasuk terhadap hak mereka untuk menentukan nasib sendiri dan penubuhan sebuah negara yang merdeka serta berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya,” tegas kenyataan itu.

Related Articles

Back to top button