Negeri

Selangor tidak hanya bantu, namun selesai isu utama dihadapi rakyat

Kerajaan Selangor bertekad memulih dan memperkasakan ekonomi bagi memastikan penduduk di negeri itu menikmati kehidupan lebih baik.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagi tujuan itu pentadbirannya tidak hanya menyerahkan bantuan berbentuk sumbangan, namun lebih dari itu cuba menyelesaikan isu pokok dihadapi rakyat.

“Pelbagai bantuan diberikan dan ini merupakan usaha berterusan Kerajaan Madani sama ada negeri atau persekutuan dalam membantu memperkasakan rakyat.

“Isu utama yang saya lihat di sini bagaimana selesaikan masalah ekonomi dan ini yang cuba diperbetulkan.

“Contohnya suatu masa dahulu kita berdepan dengan isu barangan tetapi kini alhamdulillah daripada keperluan harian sehingga makanan semuanya hampir selesai biarpun ada harga agak tinggi berikutan kedudukan ringgit,” katanya.

Amirudin sebelumnya hadir ke majlis penyerahan sumbangan Parlimen Gombak pada Sabtu.

BACA LAGI: Lebih 21,000 penjawat awam Selangor bakal terima kenaikan gaji

Terdahulu pada majlis itu, Amirudin menyerahkan sumbangan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) Parlimen Gombak kepada 22 peniaga kecil mikro serta komputer riba kepada Sekolah Kebangsaan Tamil Batu Caves dan Taman Melawati.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada penduduk kurang berkemampuan di Parlimen Gombak, menyerahkan cermin mata dan watikah sahabat Parlimen Gombak kepada enam individu.

Beliau kemudian hadir menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran Medan Selera AU5, Hulu Kelang di Dewan Serbanguna MPAJ AU5.

Related Articles

Back to top button